Tuesday 21 June 2016

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu


1.0 PENGENALAN
Perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, dan bahasa Melayu moden. Kemajuan  bahasa Melayu kuno bermula pada zaman kegemilangan kerajaan Siriwijaya iaitu kira-kira pada abad ke-7 hingga abad ke-13. Kemajuannya terbukti apabila bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca serta bahasa dalam pentadbiran. Penemuan batu-batu bersurat telah menjadi bukti kepada kewujudan bahasa ini. Sebagai contoh, batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683SM).
            Seterusnya ialah bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19. Bahasa Melayu pada zaman ini, banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab kerana penyebaran agama Islam secara meluas di Nusantara. Bahasa Melayu ini berkembang pesat pada Zaman kerajaan Melay Melaka (1403-1511). Penggunaan bahasa Melayu klasik ini juga boleh dibuktikan melalui penemuan batu-batu bersurat sebagai contoh penemuan batu bersurat di Kuala Berang, Kuala Terengganu.
            Akhir sekali ialah, bahasa Melayu moden. Bahasa ini bermula pada abad ke-19 hingga sekarang. Bahasa Melayu moden ini berasaskan pembaharuan yang dibawa oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi. Abdullah Munsyi membuat pembaharuan dalam bahasa Melayu melalui karya-karyanya sebagai contoh, karya Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu dalam Segala Negeri (1837).
            Tuntasnya, perkembangan bahasa Melayu telah melalui pelbagai fasa atau peringkat dan diakhiri dengan peringkat bahasa Melayu moden. Dalam tugasan ini saya akan memberi penerangan peringkat-peringkat yang dilalui oleh bahasa Melayu ini dengan lebih terperinci.
2.0 DEFINISI PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
Terdapat beberapa definisi yang boleh dikaitkan dengan perkembangan bahasa Melayu. Antaranya ialah Ismail Hussein (1948:5) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu. Oleh sebab bentuknya yang mudah dilentur, yakni mudah menerima unsur asing, maka jadilah bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di kepulauan Melayu.
            Amat Juhari Moain (2006:27) berpendapat bahawa terdapat 5 zaman perkembangan bahasa Melayu.Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang secara bertahap–tahap iaitu dari zaman ke zaman. Zaman yang diyatakan tadi ialah zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Manakala ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap, iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, dan bahasa Melayu moden.
Menurut Asmah Haji Omar pula, bahasa Melayu purba dipercayai dituturkan oleh kelompok Melayu Deutro. Mereka menggunakan bahasa ini dalam bentuk lisan. Oleh sebab itu, bahasa Melayu dipercayai tidak wujud dalam bentuk tulisan.
Tuntasnya, bahasa Melayu telah melalui beberapa tahap yang berbeza yang mana tahap ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden
3.0 BAHASA MELAYU KUNO
Menurut  Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain, (2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah batu bersurat.
            Pada abad pertama, pedagang-pedagang dari India mula berlayar ke arah Timur untuk menuju ke negara China. Manakala pedagang dari China, belayar ke barat menuju India. Sehubungan dengan itu, perlayaran dua hala ini telah memaksa mereka untuk melalui laluan Selat Melaka. Hal ini telah menyebabkan pelabuhan yang terdapat di Kepulauan Melayu menjadi tempat persinggahan mereka dan pelabuhan tersebut juga menjadi pusat perdagangan antara India dan China. Di samping itu, para mubaligh Hindu turut datang ke kepulauan Melayu untuk memperluaskan penyebaran agama Hindu. Kedatangan para pedagang serta mubaligh Hindu telah menyebabkan bahasa Melayu mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu purba kemudiannya berkembang serta berevolusi menjadi bahasa Melayu kuno.
            Kewujudan bahasa Melayu kuno boleh dibuktikan melalui penemuan-penemuan prasasti ataupun batu bersurat. Bukti-bukti ini merupakan bukti bertulis tertua yang telah ditemui oleh para arkeologi dan sajarawan. Antara bukti-bukti batu bersurat tersebut ialah:

1. Batu bersurat Kedukan Bukit yang terdapat di Palembang bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan 683 Masihi. Tulisan yang digunakan pada batu bersurat ini dinamakan sebagai huruf Palava, iaitu sejenis tulisan purba dari India Selatan.
;



2. Batu bersurat Talang Tuwo di Palembang bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 Masihi. Residen Westtenek yang telah menemui batu bersurat ini pada 17 November 1920 di sebuah kawasan bernama Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang, iaitu lebih kurang 8 kilometer dari Palembang.



3. Batu bersurat Kota Kapur di Bangka bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 Masihi.


4. Batu bersurat Karang Berahi di Jambi bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 Masihi.


3.1 CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KUNO
Kesan-kesan daripada bahasa Melayu kuno ke atas bahasa Melayu moden hanyalah sedikit, iaitu sekitar 50 baris sahaja. Daripada kesan-kesan itu dapat dilihat ciri-ciri utama bahasa tersebut iaitu:
1.    Bahasa Melayu kuno sarat dengan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskerta.
2.    Susunan ayat bahasa Melayu kuno tetap bersifat Melayu, dan tidak terpengaruh oleh susunan ayat bahasa Sanskerta.
3.    Tulisan yang digunakan merupakan tulisan yang berasal dari india seperti Devanagiri dan Pallava. Bahasa melayu kuno tidak mempunyai pengaruh arab dari segi kosa kata mahupun tulisan.
            
Tulisan Devanagari                           Tulisan Pallava

4.    Bunyi b dalam bahasa Melayu moden dahulu ialah v dalam bahasa Melayu kuno. Sebagai contoh:
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Bulan
Vulan
Bangun
Vangun
Barang
Varang

5.    Bahasa ‘e’ pepet tidak ada dalam bahasa Melayu kuno sebagaimana yang terdapat dalam bahasa Melayu moden. Sebagai contoh:
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Perkara
Prakara
Lepas
Lapas
Membangun
Marvangun

6.    Awalan ber- dalam bahasa Melayu moden ialah mar- dalam bahasa Melayu kuno. Sebagai contoh:
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Berlepas
Marlapas
Perbuat
Parwuat
Membangun
Marvangun
7.    Awalan di- dalam bahasa Melayu moden ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Dilawan
Nilawan
Dibunuh
Nibunuh
Dicuri
Nicuri

8.    Bahasa Melayu kuno mempunyai bunyi konsonan yang ‘dihembuskan’ seperti bh,th,ph, dan kh. Sebagai contoh:
·         Tathapi
·         Sukhacitta
·         Sukha
·         Dhuka
·         Bhumi
Bunyi hembusan itu sama ada hilang dalam bahasa Melayu moden seperti perkataan suka dan duka, atau diganti dengan bunyi vokal ‘a’, seperti pada bahasa dan pahala.
9.    Bunyi ny dalam bahasa Melayu moden ialah n dalam bahasa Melayu kuno
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Sebanyaknya
Savanakna
Buatnya
Vuatna
Buahnya
Vuahnya

10.  Bunyi h di dalam perkataan tertentu yang terdapat dalam bahasa Melayu kuno telah hilang pada bahasa Melayu moden.
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu Kuno
Tua
Tuha
Saya
Sahaya
Ajar
Hajar


4.0 BAHASA MELAYU KLASIK
Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa. Antaranya ialah, menurut Asmah Hj. Omar (1985:33), “bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu klasik.
            Ismail Hussein (1984:24) berpendapat bahawa, pembahagian yang dibuat adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa  Melayu. Hal ini dapat dibahagikan mengikut zaman politik Sirivijaya, Majapahit, Melaka dan sebagainya.

4.1  SEJARAH BAHASA MELAYU KLASIK
Bahasa Melayu klasik digunakan pada abad ke-14 hingga abad ke-19. Bahasa ini mencapai kegemilangan pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Kerajaan Johor-Riau. Bahasa ini telah menjadi bahasa baku dalam pemerintahan negara yang berpusat di istana serta hubungan dengan dunia luar. Bahasa ini telah mempunyai peningkatan berbanding bahasa Melayu kuno. Bahasa ini mempunyai taraf mutu yang tinggi, dan mengandungi laras bahasa yang banyak dan untuk mempelbagai bidang ilmu seperti undang-undang, perubatan, sejarah, agama, dan seni sastera.
            Menurut Doktor Zainal Azma, perkembangan bahasa Melayu klasik mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya satera. Perkembangan kesusateraan ini memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari segi kebudayaan, dan keperibadian sesuatu bangsa. Dalam hal ini juga, bahasa Melayu klasik turut digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan kemasyarakatan dan juga keagamaan. Kemunculan bahasa Melayu klasik menyebabkan pengaruh Hindu mula pudar sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15.
            Pada abad ke-13, peralihan bahasa berlaku disebabkan kedatangan agama Islam ke Asia Tenggara. Ekoran daripada itu, kehadiran agama Islam telah banyak mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu pada waktu itu, terutama dari segi kosa kata, struktur kata dan juga tulisannya. Peralihan bahasa Melayu kuno kepada bahasa Melayu klasik dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (1390). Batu bersurat ini ialah batu bersurat pertama yang ditemui mengguna perkataan-perkataan arab seperti Allah, nabi-nabi, khalifah dan rahmat. Berbeza pula dengan batu bersurat Pagar Ruyung, iaitu dari segi bahasanya. Bahasa Melayu klasik dikatakan mencapai zaman kegemilangannya di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau. Hal ini demikian kerana, kerajaan-kerajaan tersebut pernah menjadi kawasan yang penting dalam kegiatan perdagangan serta perkembangan Islam.

4.2  PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU KLASIK.
Kedatangan pengaruh bahasa Arab serta agama Islam, telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan satu lagi tulisan baru, iaitu tulisan Jawi. Tulisan ini boleh dibuktikan melalui penemuan batu bersurat Kuala Berang yang dijumpai di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu bertarikh 22 Februari 1303 Masihi, bersamaan dengan 4 Rejab 702 Hijrah.


4.3  PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU KLASIK DALAM KARYA SASTERA DAN AGAMA
Pada zaman pemerintahan kerajaan Melaka, pelbagai karya sastera telah diterbitkan. Antaranya ialah, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, dan Undang-undang Laut Melaka.
            Bahasa Melayu klasik jelas digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang islam, dan tasawuf. Karya yang tertua yang dihasilkan ialah ‘Aqai’id al-Nasafi. Kitab ini banyak membicarakan tentang hakikat kejadian benda, kemungkinan ilmu, punca ilmu dan lain-lain lagi.Terdapat juga karya sastera bercorak tasawuf, syair sufi, falsafah, serta ketatanegaraan pada zaman pemerintahan Aceh. Antaranya ialah, Syair Burung Pungguk, dan Syair Perahu karya Hamzah Fansuri; karya agama, Mirat al-Mukminin, dan Miratul Iman oleh Shamsuddin al-Sumaterani; Siratul Mustaqim, dan Bustan al-Salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri; serta Mirat al-Tuluh karya Abdul Rauf Singkel.
            Karya lain dalam bahasa Melayu klasik ialah, Hikayat Raja-raja PasaiHikayat Merong MahawangsaHikayat Bayan BudimanMisa MelayuHikayat Negeri JohorKisah Pelayaran AbdullahHikayat Anggun Cik TunggalHikayat Awang Sulung Merah Muda, dan Hikayat Panji Semirang.
4.4 CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK
Bahasa Melayu Klasik mempunyai ciri-ciri tersendiri. Bahasa ini mempunyai perbezaan dengan bahasa Melayu moden. Ciri-ciri ini dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian, iaitu huruf dan perkataan serta, susunan ayat. Antaranya ialah:
1.    Huruf dan perkataan
a)    Penggunaan huruf jawi
Huruf ini telah diadaptasi daripada huruf Arab. Terdapat tambahan beberapa huruf lain bagi menyempurnakan bahasa Melayu. Antaranya, ca (چ), nga (ڠ), ga (ڬ), pa (ڤ)
b)      Terdapat Pengaruh bahasa Arab yang ketara, khususnya bagi istilah yang berkaitan dengan agama dan hukum Islam. Antaranya ialah:
·         Allah Taala
·         Rasulullah
·         Daulat
·         Wallahualam
c)    Penggunaan bahasa Istana:
·         Beradu (tidur)
·         Gering (sakit)
·         Santap (makan)
·          Murka (marah)
d)    Menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’,dan ‘sy’. Sebagai contoh: khamis, zakat, syarat dan lain-lain
e)    Terdapat kosa kata klasik yang berbeza dengan bahasa Melayu moden

Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Moden
Kaus
Kasut
Mangkin
Mati
Melangir
Mencuci

f)     Banyak menggunakan kata pangkal ayat seperti:
·         Adapun
·         Alkisah
·         Arakian
·         Hatta
2.    Struktur ayat
a)    Ayat panjang-panjang,berulang-ulang dan berbelit-belit, gabungan ayat tunggal yang dicatumkan dengan menggunakan kata hubung tertentu. Sebagai contoh:
Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik.
b)    Bentuk ayat pasif. Iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objuk pelaku atau subjek. Sebagai contoh:
Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim, diserahkannya mengaji kepada mualim..
c)    Penggunaan partikel atau penegas ‘lah’ dan ‘pun’. Sebagai contoh:
“Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya”
d)    Penggunaan imbuhan awalan ‘mar’ dan ‘ni’ dalam Bahasa Melayu kuno telah diganti dengan ‘ber’ dan ‘di’. Imbuhan ini masih digunakan dalam Bahasa Melayu moden. Sebagi contoh:  niperuat> diperbuat. Marlapas> berlepas



5.0 BAHASA MELAYU MODEN
Zaman bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19 dengan kemunculan karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi. Pembaharuan bahasa yang digunakan oleh Abdullah Munsyi pada masa itu telah mempengaruhi corak perkembangan bahasa Melayu selepas itu. Pembaharuan yang dinyatakan ialah hasil daripada pertembungan kebudayaan antara Timur dengan Barat. Walau bagaimanapun, zaman Abdullah hanyalah zaman peralihan bahasa Melayu klasik kepada bahasa Melayu moden. Tahap sebenar bahasa Melayu bermula pada abad ke-20.
5.1 PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU MODEN
Sebelum kedatangan British di tanah melayu, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi dan berfungsi sebagai sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar di institut pendidikan. Pada peringkat awal pemerintahan inggeris, bahasa Melayu masih lagi digunakan dalam sistem pentadbiran atau urusan rasmi. Malah pegawai British yang bertugas dikehendaki mempelajari bahasa Melayu dan lulus dalam peperiksaan sebelum disahkan jawatannya. Sebahagian pegawai British tersebut ialah, R.O Winstedt, R.J. Wilkinson, O.T. Dussek, A.M. Skinner, C.C. Brown dan W.E.
            Selepas Perang Dunia Kedua meletus, bahasa Melayu mula terpinggir. British mula menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan satu faktor yang menyebabkan kekalahan mereka terhadap tentera Jepun. Justeru itu, pihak British mengambil langkah untuk menggunakan bahasa Inggeris di tanah Melayu secara meluas. Hal ini disebabkan pihak British tidak mahu orang Melayu bersatu dan menentang mereka. Pihak British telah menukarkan dasar pendidikan dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah. Manakala bahasa Melayu hanya digunakan di peringkat sekolah rendah sahaja. Pelajar yang lulus dalam bahasa Inggeris akan menyandang jawatan-jawatan profesional dalam pentadbiran
            Pada awal abad ke-20, kesedaran mula timbul dalam kalangan sasterawan, wartawan, budayawan, guru-guru dan ahli politik terhadap kedudukan bahasa Melayu. Oleh itu, mereka telah berusaha dengan memperjuangkan bahasa Melayu secara individu dan  berkumpulan dengan menggunakan penulisan dalam majalah dan akhbar tempatan. Maka dengan ini, lahirlah tokoh-tokoh, para ilmuan dan institusi bahasa pramerdeka. Antara tokoh bahasa Melayu yang dinyatakan tadi ialah, Abdullah Munsyi (1796-1854), Raja Ali Haji (1809-1870), Mejar Dato’ Haji Mohd. Said bn Haji Sulaiman (1876-1955) dan Zainal Abidin bin Ahmad (1896-1973). Manakala institusi-institusi bahasa Melayu yang ditubuhkan ialah, Pakatan Belajar Mengajar Pengatahuan Bahasa (1888), Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (1934), Pejabat Karang Mengarang (1924) dan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).
            Tanggal 22 jun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diwujudkan di Johor Bharu, Johor. Nama asalnya ialah Balai Pustaka. Pada asalnya, DBP hanyalah salah satu jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Kemudian, kerajaan telah menerima cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga untuk menamakan Balai Pustaka dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP berperanan sebagai mencetak dan menerbitkan atau membantu dalam penerbitan buku, majalah, dan bentuk kesusasteraan lain.  Selain itu, DBP juga berperanan menyusun dan menerbitkan kamus bahasa kebangsaan dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan. Semasa mencapai kemerdekaan 1957, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan hendak ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menggariskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara iaitu bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun. Selain itu, Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negera dan menjadi alat utama perpadauan antara kaum. Cadangan ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastkan perpaduan antara kaum terus terjalin.

6.0 RUMUSAN
Secara keseluruhannya, saya dapat rumuskan bahawa bahasa Melayu telah mengalami perubahan dalam beberapa peringkat. Bahasa Melayu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu Moden. Bahasa Melayu moden wujud pada abad ke-4. Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Manakala bahasa Melayu klasik wujud selepas bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu klasik wujud selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Bahasa Arab banyak mempengaruhi bahasa Melayu klasik dalam aspek ejaan, penulisan, gaya bahasa dan lain-lain. Bahasa Melayu moden pula bermula pada abad ke-19 setelah kemunculan karya Abdullah Munsyi. Pembaharuan yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi telah banyak mempengaruhi bahasa Melayu dalam perkembangannya.

7.0 RUJUKAN
Abdullah Hassan. (1992). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 & 2. Kuala Lumpur: Percetakan Anda Sdn. Bhd
.
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Asmah Haji Omar. (1985). Susur Galur Bahasa Melayu. Ampang: Dawama Sdn. Bhd.

Nik Safiah karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood (1986). TATABAHASA DEWAN. Bangi: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.

Syarifah Nor Syed Abd. Rahman, Nornajmah Najmuddin & Rosdah Omar. (2007). BAHASA MELAYU KERTAS 1 & 2. TEKS & RUJUKAN LENGKAP. Shah Alam: KHL Printing Co.  Sdn. Bhd.